Kawal makan di Aidilfitri


Kawal makan di Aidilfitri


MUSIM Hari Raya Puasa budaya makan tidak lagi menumpukan kesihatan diri dan gaya hidup yang mementingkan kesihatan. Di bandar satu demi satu rumah terbuka diadakan. Ini juga mengundang kepada menjejaskan kesihatan seseorang, terutama bagi mereka yang menghidap pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

Jika dalam bulan puasa umat Islam dapat mengekang hawa nafsu dengan berpuasa selama sebulan, tetapi gaya hidup, terutama membabitkan budaya makan berubah apabila menyambut Syawal. Oleh itu, Islam menggalakkan umatnya menunaikan puasa sunat Syawal selama enam hari bagi mengimbangi dan mengurangkan pengambilan makanan selepas Aidilfitri.


Selain menahan lapar dan dahaga, puasa enam Syawal juga boleh dianggap sebagai proses detoksifikasi secara semula jadi. Melalui proses ini, ia bertindak menyingkirkan pelbagai jenis toksik dalam tubuh kita yang berpunca daripada pemakanan. Ketika berpuasa juga, tubuh memerlukan sumber tenaga yang cukup dan seimbang.

Mengikut kajian berkaitan pemakanan, tekanan sememangnya sukar dielakkan. Namun, ia masih boleh dikawal menerusi gaya hidup sihat. Pemilihan makanan yang seimbang adalah cara paling mudah untuk mengawal tekanan mental dan fizikal. Menerusi pengambilan pemakanan yang teratur seseorang itu akan dapat mengendalikan tekanan secara bersendiri tanpa bantuan pakar.


Mengamalkan budaya makan yang sihat amat penting bagi mengekalkan kesihatan seseorang, terutama bagi mereka yang sudah berusia. Budaya makan yang tidak terkawal bukan sahaja boleh menyebabkan obesiti, malah mengundang pelbagai penyakit.


Ada pendapat mengatakan, ‘perut adalah punca segala penyakit.’ Sebagai contoh nasi adalah makanan utama masyarakat di Malaysia. Sebanyak 50 hingga 60 peratus tenaga kita datangnya daripada nasi.

Jika dikaitkan dengan sejarah dan kepercayaan, nasi mempunyai semangat istimewa kerana ia memberi kita rasa kenyang secara pukal berbanding makanan lain seperti roti, mi, kuih-muih dan sebagainya.


Mengikut kajian, walaupun sepanjang hayat makan nasi, daripada kecil hingga tua, sarapan nasi, tengah hari nasi dan malam juga hidangan nasi, tetapi kita tetap tidak berasa jemu. Salah satu sebabnya kerana ia dimakan dengan aneka lauk-pauk. Tetapi harus diingat mengambil makanan daripada nasi secara berlebihan juga menggemukkan.

Oleh itu, ambillah hidangan nasi dengan kadar yang sedikit dan lebihkan sayur-sayuran, ikan dan buah-buahan dalam sajian makanan bagi mengimbangi kesihatan. Pilih pemakanan yang sihat sewaktu menghadiri jamuan dan rumah terbuka Aidilfitri.


Mengawal selera makan juga adalah penting bagi mengelakkan mengambil makanan terlalu banyak. Makanlah dalam kadar sederhana bagi mengimbangi kesihatan diri. Ketahuilah mengenai penyakit yang ada dalam diri masing-masing. Ini dapat mengelakkan daripada seseorang itu mengambil makanan yang boleh memudaratkan dirinya.


Merujuk kepada kajian beberapa ahli sains di Universiti Witwatersrand di Afrika Selatan, pengamal diet makan hampir 27 peratus kurang kalori ketika makan. Apabila mereka mengamalkan corak pemakanan yang sedikit tetapi kerap mereka kurang rasa lapar dan dapat mengurangkan berat badan mereka.


Dalam hal ini, elakkan makanan yang berminyak dan makanan yang digoreng yang banyak mengandungi lemak. Cuba elakkan juga makanan yang dimasak dengan santan kerana santan mempunyai kandungan kalori yang tinggi dan berbahaya kepada pesakit jantung dan darah tinggi.


Tubuh sihat dan bertenaga adalah bermula daripada pemakanan dan gaya hidup yang sihat. Kurangkan sedikit pengambilan makanan yang tinggi kalori. Gantikan minuman manis dengan air kosong. Minum air kosong banyak untuk mengekalkan kesihatan tubuh.


Amalkan pemakanan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. iaitu mengunyah makanan secara perlahan-lahan dan berhenti makan sebelum kenyang. Jika diamalkan kita akan merasai perubahannya. Biar makan dalam kualiti sedikit, tetapi secara kerap. Ambil makanan sekiranya kita memerlukannya dan jangan melewati waktu makan. Ambil makanan dalam kadar sedikit supaya tidak membazir dan terbuang.


Kajian kesihatan mendapati, tubuh yang terlalu kurus tidak bermakna sihat sepenuhnya. Tidak ada gunanya jika kita berhasil menurunkan berat badan sekiranya kesihatan kita turut terjejas.


Justeru, pastikan makanan yang diambil dengan nutrien tinggi dan berkhasiat untuk tubuh badan kita. Jangan terlalu menyekat pengambilan makanan sehingga tubuh menjadi lemah dan tidak bermaya. Hal ini juga boleh membahayakan kesihatan. Pengambilan makanan dalam kadar sederhana adalah sebaik-baik pilihan.


Pastikan makanan yang kita ambil masih mengandungi vitamin. Sebagai contoh sayur-sayuran yang dimasak masih segar. Vitamin C mudah musnah ketika memasak. Maka jika anda masak sayur-sayuran yang mengandungi vitamin C gunakan sedikit air dan masak sekejap saja.


Ada khasiat sayur yang tiada pada buah dan begitu juga sebaliknya. Kebanyakan sayur dan buah rendah lemak membekalkan pelbagai jenis zat seperti vitamin A, vitamin C, asid folik, zat besi dan kalsium. Semua khasiat ini penting kepada kesihatan. Sayur dan buah juga kaya dengan serat.


Pilihlah makanan yang berkhasiat dengan sajian lazat. Makanan yang disajikan dalam keadaan yang tidak bersih juga boleh mengundang pelbagai penyakit sebagai contoh boleh menyebabkan keracunan makanan dan membahayakan kesihatan.


Sementara itu, lemak juga adalah keperluan tubuh. Meninggalkan pengambilan lemak bermakna seseorang itu kekurangan satu khasiat penting kepada tubuh. Kajian mendapati lemak penting untuk membantu menyerapkan vitamin-vitamin larut lemak, iaitu vitamin A, D, E dan K. Ia juga melazatkan makanan dan dapat memperbaiki tekstur makanan.


Namun, lemak yang berlebihan daripada makanan akan disimpan di dalam badan sebagai lemak badan. Kehadiran lemak badan menyebabkan berat badan akan bertambah. Lemak yang berlebihan juga meningkatkan risiko penyakit jantung koronari, strok, obesiti dan masalah kesihatan yang lain. Jadi, kurangkan pengambilan lemak dan amalkan budaya dan cara makan yang sihat.


Budaya makan yang sihat juga adalah seperti mengamalkan diet secara teratur. Terapkan matlamat dan pendirian makan secara sederhana bagi mengelakkan sebarang penyakit yang berbahaya. Makanlah ikut keperluan bukan mengikut nafsu. Jika berasa lapar makanlah sedikit dan diikuti dengan kerap. Jika sudah terlalu kenyang jangan ikut nafsu untuk makan sehingga tiada ruang untuk bernafas.


Amalan dan budaya makan seperti inilah yang sukar diamalkan, tetapi ia memberi kesan yang baik kepada kesihatan kita. Tidak salah menghadiri rumah terbuka, cuma kita perlu mengawal diri dan selera kita daripada makan terlalu banyak. Kita juga yang mengetahui akan penyakit yang ada dalam tubuh badan kita dan makanan apa yang berbahaya kepada kita. Jangan disebabkan makanan kita merana kesakitan.


Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu

Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment